Pilihan Warna Saiz Huruf
PERTUBUHAN SUKARELA KEBAJIKAN (PSK)

Selaras dengan Dasar Kebajikan Masyarakat Negara untuk memupuk masyarakat penyayang, Jabatan menggalakkan penyertaan dan penglibatan masyarakat bagi memberi perkhidmatan kepada golongan bermasalah dan yang kurang bernasib baik melalui Pertubuhan Sukarela Kebajikan. Perkhidmatan Kebajikan menjadi satu tanggungjawab bersama di antara kerajaan dan masyarakat.

Pemberian Geran Kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK)

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan bantuan geran kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan sebagai penghargaan kepada mereka yang menyokong Kerajaan dalam memenuhi keperluan sosial negara dengan penyediaan berbagai perkhidmatan dan kemudahan untuk golongan masyarakat yang memerlukan

A) Tujuan

Tujuan pemberian bantuan geran kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan adalah untuk menggalakkan penglibatan dan penyertaaan masyarakat dalam program dan khidmat kebajikan supaya dapat menokok tambah dan menampung perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan.

Garis Panduan pemberian bantuan geran disediakan bagi menentukan syarat kelayakan dan kriteria pemberian geran kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan serta kadar geran yang ditetapkan.

B) Kriteria Kelayakan Bagi Pertimbangan Geran

Pertubuhan Bukan Kerajaan yang layak diberi pertimbangan geran Jabatan Kebajikan masyarakat adalah seperti berikut:

  • Pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dibawah Akta Pertubuhan 1966.
  • Pertubuhan bertaraf tempatan.
  • Pertubuhan yang bercorak kebajikan (welfare-related) yang mengendalikan program berbentuk pencegahan, pemulihan, jagaan dan perlindungan serta pembangunan bagi kumpulan sasar dibawah tanggungjawab dan fungsi Jabatan.
  • Pertubuhan atau Organisasi yang ditubuhkan berdasarkan peruntukan Akta seperti Jawatankuasa Kebajikan Daerah dibawah Pasukan Perlindungan Kanak-kanak serta Lembaga yang dibawah Akta-Akta berkaitan.
  • Pertubuhan yang telah berdaftar dibawah Akta Pusat Jagaan 1993 bagi yang mengendalikan program institusi berkediaman atau Pusat Jagaan Harian.

C) Jenis Geran

Geran Pentadbiran

Dipertimbangkan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan peringkat kebangsaan bagi menampung sebahagian kos pentadbiran. Pertimbangan geran mengambilkira kos berikut:

  1. Emolumen: bagi seorang Pegawai (N3) dan seorang Kerani (N9) di mana jumlah geran Gred Skim Saraan Baru pada matagaji P1T1 iaitu RM1160.00 bagi N3 dan RM530.00 bagi N9.
  2. Sewaan Premis: di mana jumlah geran tidak melebihi RM500.00 sebulan.
  3. Kos Utiliti: di mana jumlah geran tidak melebihi RM100.00 sebulan.
  4. Yuran Tabungan: kepada Pertubuhan Antarabangsa.

Geran Penyelenggaraan

Dipertimbangkan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan yang mengendalikan program atau perkhidmatan institusi atau Pusat Jagaan Harian bagi golongan kanak-kanak yatim dan miskin, warga tua, remaja (juvana), wanita bermasalah dan orang kurang upaya kecuali Pusat Asuhan Kanak-kanak. Kadar geran yang diluluskan oleh Perbendaharaan untuk maksud ini mengikut kumpulan sasar adalah seperti:

  1. Rumah Orang Tua: RM8.00 sehari seorang
  2. Rumah Kanak-kanak, Orang Kurang Upaya, Juvana dan Wanita & Gadis: RM8.00 sehari seorang
  3. Pusat Jagaan Harian: RM4.00 sehari seorang

Geran Perkapita/Emolumen Guru

Dipertimbangkan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan yang mengendalikan Sekolah Kanak-kanak Cacat Akal atau Pusat Jagaan Harian bagi kanak-kanak cacat akal untuk keperluan perbelanjaan khas.

Geran Perkapita merupakan pemberian tambahan kepada Pertubuhan yang mengendalikan Sekolah Khas bagi Kanak-kanak Cacat untuk membiayai keperluan pendidikan khas berdasarkan kadar Bantuan Perkapita oleh Kementerian Pendidikan bagi Sekolah Khas Rendah Cacat Pendengaran.

Elaun Khas OKU

Dipertimbangkan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan yang mengendalikan Sekolah Kanak-Kanak Cacat Akal atau Pusat Jagaan Harian bagi OKU. Elaun adalah bagi kegunaan OKU yang mendapat latihan dari sekolah atau pusat tersebut. Kadar adalah sebanyak RM 50.00 sebulan seorang.

Geran Bantuan Khas Perbendaharaan

Permohonan bantuan kewangan dari Pertubuhan Sukarela Kebajikan untuk pembiayaan program atau aktiviti bagi manfaat kumpulan sasar boleh dipertimbangkan. Syarat dan kriteria Pertubuhan yang layak dan prosedur untuk memohon hendaklah berpandukan kepada Garis Panduan Bantuan Khas Perbendaharaan.

Kutipan Derma Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)

Urusan kutipan derma yang dijalankan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan adalah berpandukan kepada Surat Pekeliling Am Bil. 6/1987 Peraturan Mengutip Derma Oleh Pertubuhan Dari Orang Ramai yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri

Mengikut peruntukan dalam Surat Pekeliling tersebut, kelulusan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu diperolehi bagi :

  1. Aktiviti kutipan derma yang dijalankan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan yang mengendalikan program/khidmat kebajikan masyarakat (Welfare -related NGOs)
  2. Aktiviti kutipan derma yang dijalankan untuk tujuan kebajikan oleh Pertubuhan yang bukan berkaitan dengan kebajikan masyarakat.
  3. Aktiviti kutipan derma yang dijalankan oleh pihak-pihak tertentu untuk pihak lain seperti membantu masalah kemiskinan dan aktiviti kutipan derma berunsur perikemanusiaan yang bersifat “regional” / antarabangsa seperti kebuluran, peperangan dan sebagainya.

Semua permohonan yang menepati ciri-ciri seperti di atas perlu dikemukakan dengan menggunakan Borang Permohonan JKMM/PKS/1998 (Derma) melalui Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri yang akan membuat siasatan dan memberi pandangan untuk pertimbangan. Semua permohonan yang telah diberikan kelulusan untuk mengendalikan aktiviti kutipan derma hendaklah mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan dalam

Surat Pekeliling Am bil. 6/87. Kegagalan untuk mematuhi peraturan sepertimana yang ditetapkan akan menjejaskan pertimbangan ke atas permohonan kutipan derma bagi pertubuhan berkenaan di masa akan datang.

Permohonan Pengecualian Cukai Pendapatan

Bahagian Pembangunan Komuniti JKM WPKL juga mengendalikan permohonan Pengecualian Cukai di bawah perenggan 6.1.4 Suseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 dari mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan dengan mengemukakan dokumen-dokumen tertentu. Siasatan dan syor oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat WPKL akan dibuat dan diperakukan oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat untuk dihantar ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Permohonan Untuk Mendapatkan Lanjutan Pas Lawatan Iktisas

Bahagian Pembangunan Komuniti JKM WPKL juga mengendalikan permohonan mendapatkan Lanjutan Pas Lawatan Iktisas Warga Asing yang ingin berkhidmat di mana-mana Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) di Malaysia dari mana-mana PSK dengan mengemukakan dokumen-dokumen tertentu. Siasatan dan syor oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat WPKL akan dibuat dan diperakukan oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat untuk dihantar ke Jabatan Imigresen Malaysia. Dokumen yang diperlukan :

  1. Surat Permohonan dari Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK)
  2. Latar belakang PSK
  3. Salinan Paspot Pemohon
  4. Salinan Pas Lawatan Pemohon
  5. Salinan Pendaftaran Pertubuhan
  6. Lain-Lain Dokumen

Kembali ke Bahagian Pembangunan Komuniti