Pilihan Warna Saiz Huruf
BAHAGIAN PEMBANGUNAN ORANG KURANG UPAYA

PENGENALAN

Bahagian Pembangunan Orang Kurang Upaya Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah salah satu bahagian perkhidmatan yang ditawarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat di mana tugas utama bahagian ini adalah untuk mengendalikan pengurusan berkaitan Orang Kurang Upaya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Segala pengurusan berkaitan pembangunan Orang Kurang Upaya adalah tertakluk di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008.

OBJEKTIF

  1. Untuk mengetahui bilangan, taburan dan kategori OKU di negeri ini bagi maksud merancang program berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, habilitasi dan rehabilitasi, latihan serta perkhidmatan.
  2. Untuk merancang penyediaan kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan OKU.
  3. Untuk membolehkan OKU yang berdaftar mendapat perkhidmatan yang bersesuaian menurut keperluan berdasarkan tahap kefungsian / ketidakupayaan mereka.

DEFINISI OKU

Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008, “OKU termasuk mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat”.

Akta Orang Kurang Upaya 2008

Akta OKU telah diluluskan di Parlimen ( Dewan Negara ) pada 24 Disember 2007 dan telah diwartakan pada 24 Januari 2008 dan dikuatkuasakan pada 7 Julai 2008.

Akta ini memberikan pengiktirafan hak OKU dan menukar konsep OKU daripada konsep kebajikan kepada konsep right-based.

Akta ini membolehkan OKU mempunyai hak penyamaan peluang dan penyertaan penuh dalam masyarakat setara dengan ahli masyarakat yang lain. Akta ini memperuntukan perihal berkaitan pendaftaran, perlindungan, pemulihan, pembangunan dan kesejahteraan OKU.

PERKHIDMATAN

A. PERKHIDMATAN DI LUAR INSTITUSI

Perkhidmatan ini diwujudkan untuk menolong orang kurang upaya supaya dapat berdikari dan membolehkan mereka menjadi anggota masyarakat yang lebih produktif sejajar dengan kebolehan dan keupayaan mereka.

1. Pendaftaran Orang Kurang Upaya

Pendaftaran orang kurang upaya (OKU) dibuat secara sukarela di seluruh negara. Ianya dijalankan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. Pendaftaran OKU boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri dan Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

Objektif Pendaftaran :-

  • Untuk mengetahui bilangan sebenar dan taburan OKU di negara ini.
  • Untuk merancang kesesuaian program-program latihan, pendidikan dan pemulihan bagi golongan kurang upaya.
  • Untuk menyediakan kemudahan-kemudahan yang bertepatan dengan keperluan OKU.
  • Untuk mengenalpasti OKU mengikut jenis-jenis kecacatan.

Syarat-syarat Pendaftaran :-

  • Orang Kurang Upaya warganegara Malaysia
  • Telah disahkan/diperakui oleh Pegawai/Pakar Perubatan hospital kerajaan
  • Menggunakan borang pendaftaran yang boleh didapati di mana-mana Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Pejabat Kebajikan Masyarakat iaitu mengikut kategori umur iaitu bawah 18 dan atas 18 tahun.
  • Pendaftaran dijalankan di Pejabat Kebajikan Daerah/Jajahan/Negeri Orang Kurang Upaya bermastautin

2. Bantuan Alat Tiruan

Alat-alat tiruan seperti anggota tiruan, tongkat, kalipers, kerusi roda, alat pendengaran, cermin mata khas dan alat-alat lain diberi supaya orang kurang upaya yang miskin dan berkeperluan dapat bergerak serta memudahkan mereka mendapat pekerjaan.

Bantuan Alat Tiruan / Alat Sokongan (BAT/S)

  • Bantuan ini bertujuan membantu orang kurang upaya yang tidak berkemampuan untuk membeli seperti kaki palsu, tangan palsu, kaliper, tongkat tangan/ketiak, kerusi roda. alat pendengaran, cermin mata khas, kasut khas dan lain-lain peralatan yang disyorkan oleh doktor atau pakar perubatan.
  • Bagi menimbang permohonan, faktor berikut diambil kira:-
    • OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat
    • Disyorkan oleh doktor atau pakar perubatan; dan
    • Mereka yang tidak mampu untuk membekalkan sendiri alat tiruan / alat sokongan yang diperlukan.

3. Elaun Pekerja Cacat (EPC)

Elaun insentif kepada orang kurang upaya yang berkerja dan berpendapatan kurang daripada RM 1200.00 sebulan bagi individu. Ini adalah untuk menggalakkan mereka berminat untuk bekerja.

Skim ini juga bertujuan menggalakkan Orang Kurang Upaya terus berdikari tanpa bergantung kepada ahli keluarga atau orang lain. Skim ini mempunyai beberapa tujuan:

  • Sebagai penyenggaraan pendapatan (income maintenance) untuk memenuhi keperluan asas kehidupan Orang Kurang Upaya (OKU)
  • Sebagai insentif untuk menggalakkan OKU bekerja, hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif
  • Untuk meningkatkan taraf hidup OKU di dalam masyarakat.

Kelayakan :-

  • Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai Orang Kurang Upaya
  • Bekerja sendiri atau dengan majikan
  • Pendapatan bulanan pemohon tidak melebihi RM1,200 sebulan tidak termasuk pendapatan keluarga
  • Berumur 18 tahun ke atas
  • Tidak tinggal di institusi yang telah disediakan kemudahan tempat tinggal, makan/minum dan pakaian percuma.

4. Bantuan OKU Tidak Bekerja ( BTB )

Bagi OKU yang tidak mampu bekerja kerana masalah kecacatan yang dialami dengan mendapat pengesahan daripada Pegawai Perubatan hospital/klinik kerajaan.

Skim ini bertujuan untuk membantu menyara kehidupan golongan OKU yang tidak berupaya untuk bekerja. Skim ini juga akan dapat mempertingkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan golongan OKU khususnya yang tidak berupaya bekerja dan mengelak atau mengurangkan kemasukan kumpulan sasar yang berkenaan ke Institusi Kebajikan. Kadar bantuan ini adalah sebanyak RM150 sebulan dan tempoh kaji semula adalah selama 12 bulan.

Kelayakan:-

  • Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia
  • Sumber pendapatan individu tidak melebihi PGK semasa. Sumber pendapatan adalah merujuk kepada semua sumber pendapatan yang diterima oleh individu termasuk Pencen Ilat, pencen terbitan, pencen bulanan, PERKESO, bantuan bulanan, insurans dan lain-lain
  • OKU berdaftar dengan JKM
  • Disahkan oleh pegawai perubatan bagi kes-kes yang meragukan
  • Berumur antara 18-59 tahun
  • Bukan penerima skim Bantuan Bulanan JKM sedia ada
  • Bukan peserta Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) kelolaan JKM dan program penjagaan / pemulihan kelolaan agensi Kerajaan dan NGO Kebajikan
  • Bagi keluarga yang menerima bantuan bulanan termasuk Bantuan Penjagaan OKU Terlantar (BPT) yang berpendapatan di bawah PGK semasa, bantuan ini boleh dipertimbangkan kepada pemohon.

5. Perkhidmatan Kaunseling dan Khidmat nasihat

Bagi orang kurang upaya atau keluarga mereka yang menghadapi masalah dari segi emosi , keyakinan diri dan sebagainya atau memerlukan maklumat berkaitan jenis-jenis perkhidmatan yang diperlukan, bolehlah mendapatkan khidmat tersebut daripada Pegawai / Pembantu Kebajikan Masyarakat yang berkelayakan atau kaunselor di Pejabat Kebajikan Masyarakat Negeri masing-masing.

B. PERKHIDMATAN DI DALAM INSTITUSI

Membantu memulihkan dan mempertingkatkan kualiti dan taraf hidup orang kurang upaya supaya mereka dapat hidup berdikari dengan memberi pemulihan dan latihan kemahiran yang sesuai.

Perkhidmatan di Institusi

  • Memberi jagaan, perlindungan dan pemulihan
  • Menyediakan kemudahan bagi memenuhi keperluan dari segi fizikal, sosial dan rohaniah
  • Menjaga kesihatan dan keselamatan penghuni
  • Memberi pendidikan, bimbingan serta latihan vokasional
  • Penempatan semula dalam masyarakat
  • Mengadakan aktiviti pengeluaran hasil dan aktiviti yang berkaitan dengan masyarakat setempat
  • Memberi kaunseling

Institusi Berkaitan Orang Kurang Upaya

  • Taman Sinar Harapan (TSH)
  • Pusat Latihan Perinsustrian dan Pemulihan Bangi (PPLPP)
  • Bengkel Daya
  • Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)
  • Rumah Kelompok

Menyediakan perkhidmatan jagaan, pemulihan, latihan serta peluang pekerjaan kepada orang kurang upaya. Terdapat 11 buah institusi orang kurang upaya seperti di bawah:-

INSTITUSI BILANGAN
Taman Sinar Harapan 7
Bengkel Terlindung 2
Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi 1
Pusat Harian Bukit Tunku 1
JUMLAH 11

DIREKTORI PEGAWAI

BIL NAMA JAWATAN SAMBUNGAN
1 Pn. Kamsiah Bt Hussain Pegawai Kebajikan Masyarakat(S41) 4042
2 En. Mohamad Affendy b. Mat Sani Pen. Pegawai Kebajikan Masyarakat(S32) 4106
3 Pn. Rosnah Bt Hj.Mat @ Ali Pen. Pegawai Kebajikan Masyarakat(S32) 4045
5 Pn. Rosemawati Bt Nayan Pen. Pegawai Kebajikan Masyarakat(S27) 4104
6 Pn. Nur Al Huda Bt. Suhaini Pen. Pegawai Kebajikan Masyarakat(S27) 4043
8 Cik Khairolyusmaniza binti Zainal Pen. Pegawai Kebajikan Masyarakat(S27) 4044
9 En. Sairien B Juhaini Pen. Pegawai Kebajikan Masyarakat(S27) 4044
10 En. Mohd Sukran Bin Md Rashid Pen. Pegawai Kebajikan Masyarakat(S17) 4046
11 Pn. Nur Arafah Bt Mohamed Ali Pem. Kebajikan Masyarakat(S17)
12 Pn. Siti Sarah Bt Idris Pem. Kebajikan Masyarakat(S17)
10 Pn. Wan Norrini Bt Wan Ahmad Pem. Kebajikan Masyarakat(S17) 4044

 

MAKLUMAT TAMBAHAN

SOALAN LAZIM